PETALING JAYA: Sistem MyLapor mula beroperasi hari ini sebagai saluran aduan digital bagi membolehkan orang awam melaporkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, MyLapor dibangunkan bagi memudahkan pelaporan kesalahan di bawah Akta 852 oleh orang awam serta memperkukuh pengurusan aduan dan tindakan penguatkuasaan oleh anggota kesihatan.
Katanya, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan perkhidmatan KKM untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memastikan aduan diurus secara lebih sistematik.
“Melalui MyLapor, orang awam boleh mengemukakan aduan dengan menggunakan aplikasi MySejahtera, mengimbas kod QR MyLapor atau mengakses pautan https://kkmhub.moh.gov.my/mylapor/public. Setiap aduan akan disalurkan terus kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat berdasarkan lokasi kejadian.








