KUALA LUMPUR: Warisan tekstil dan busana Melayu diterjemahkan ke dalam koleksi barang kemas mewah kontemporari menerusi Tita Collection by SUEN, yang mengetengahkan 33 rekaan berinspirasikan himpunan warisan Allahyarham Azah Aziz atau nama penuhnya, Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff.

Dihasilkan daripada emas 18 karat dan berlian, koleksi berkenaan mengolah motif, tekstur dan bentuk daripada tekstil tradisional, busana serta aksesori klasik Malaysia sekali gus menjadi karya barang kemas yang boleh digayakan pada masa kini.

Inspirasi koleksi itu tercetus daripada usaha Tan Sri Dr Zeti Aziz untuk memelihara dan menghargai legasi ibunya, Azah yang sepanjang hayatnya menumpukan perhatian terhadap pemeliharaan ilmu dan seni pembuatan berkaitan busana Melayu serta tradisi tekstil.