Kuala Lumpur: Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (Kumpulan BPMB) diberi mandat oleh kerajaan untuk melaksanakan inisiatif strategik bernilai lebih RM7 bilion merentasi tujuh sektor keutamaan di bawah Belanjawan 2027.
Tujuh sektor keutamaan itu merangkumi pemerkasaan eksport, kelestarian, pengangkutan dan logistik, pembangunan usahawan, industri pertumbuhan yang bernilai tinggi, pelancongan serta infrastruktur.
BPMB dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu menyokong usaha kerajaan meningkatkan produktiviti, pelaburan dan daya saing ekonomi, selaras dengan tema Belanjawan 2027, Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi.
Menurut BPMB, di bawah sektor kelestarian, Dana Kelestarian Alam 2.0 bernilai RM2 bilion menyediakan pembiayaan kepada syarikat Malaysia yang melaksanakan inisiatif rendah karbon dan beralih kepada operasi lebih mampan.









