Alor Setar: Polis melumpuhkan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai polis India selepas menyerbu pusat panggilan di sebuah premis perniagaan sekitar Bandar Putra, di Kulim, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, seramai 48 individu berusia antara 20 hingga 43 tahun ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada jam 8 malam.

Beliau berkata, tangkapan itu membabitkan tujuh lelaki warga Malaysia, 28 lelaki dan lima wanita warga Pakistan serta enam lelaki dan dua wanita warga India.

Katanya, sindiket yang dipercayai mula beroperasi sejak akhir Ogos lalu itu disyaki menyasarkan mangsa di India dengan menggunakan taktik menakut-nakutkan mangsa kononnya mereka terbabit dalam kesalahan undang-undang.