PUTRAJAYA: Taktik licik sindiket penipuan dalam talian antarabangsa menjadikan sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing, Pahang yang ditutup sejak tahun lalu sebagai pusat panggilan terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Lebih mengejutkan, sindiket terbabit dipercayai sanggup membayar sewa kira-kira RM30,000 sebulan untuk menjadikan premis di Jalan Sungai Arang, Sungai Lembing, Kuantan, Pahang itu sebagai markas operasi lengkap dengan kemudahan internet.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata serbuan pada Isnin lalu dibuat dalam operasi khas Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Pahang, selepas risikan selama kira-kira sebulan.