KUALA LUMPUR: "Saya tidak mahu ada keluarga lain kehilangan anak dengan cara memilukan seperti kami," kata Kamaruddin Ngatimon, bapa saudara kepada Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, pelajar Tingkatan Dua yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan bulan lalu.
Mengakui sehingga hari ini keluarganya masih terkesan dengan kehilangan itu, Kamaruddin berkata kerajaan dan pihak sekolah perlu mengambil langkah lebih tegas mengelak tragedi berulang.
"Saya terkejut ketika kes anak saudara masih 'panas', ada pula kes lain berlaku di Yong Peng, Johor dan sedihnya ia turut membabitkan kematian pelajar sekolah," katanya.
Sebelum ini, siasatan polis mengesahkan Muhammad Idlan yang maut dibuli di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah dipukul dua pelajar senior menggunakan getah paip pada malam kejadian sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri.










