PETALING JAYA – U Mobile mencapai 90 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk (CoPA) di seluruh negara, sembilan bulan lebih awal daripada sasaran asal iaitu pada Julai 2027.

Ia menjadi pencapaian penting dalam pelaksanaan rangkaian ULTRA5G U Mobile di seluruh negara, sambil memperlihatkan perkembangan pantas rangkaian berkenaan sejak pelaksanaannya bermula.

U Mobile mula melancarkan rangkaian 5G pada Julai 2025 dengan dua sasaran utama iaitu mencapai 80 peratus CoPA dalam tempoh 12 bulan pertama pelaksanaan, diikuti 90 peratus CoPA menjelang Julai 2027.

Dengan pencapaian kedua-dua sasaran itu lebih awal daripada jadual, U Mobile telah memenuhi komitmen liputan nasional yang menjadi asas kepada peranannya dalam Model Rangkaian 5G Berkembar Malaysia.