JAKARTA – Indonesia hari ini menyatakan akan menghentikan sebuah projek bertujuan memusnahkan beberapa juta hektar hutan bagi meneroka tanah untuk  pengeluaran padi.

Jakarta melancarkan program pada tahun 2024 untuk menghentikan kebergantungan kepada import beras dalam tempoh lima tahun akan datang  dengan meneroka tiga juta hektar tanah untuk sawah padi.

Indonesia merupakan antara  negara yang mempunyai paling banyak kawasan hutan di dunia, dan secara tidak langsung merupakan penyerap utama pelepasan karbon yang memanaskan Bumi akibat pembakaran  bahan api fosil oleh manusia.

Kerajaan menetapkan matlamat menjadi negara penyerap karbon bersih menjelang 2030, dengan hutan dan penggunaan tanah lain, menyerap lebih banyak karbon berbanding yang dilepaskan.