PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Laos berhubung penahanan seorang warga Malaysia dalam kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine daripada sebuah jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya belum menerima maklumat terperinci daripada pihak berkuasa dadah Laos berhubung kes berkenaan.

“Setakat ini, kita belum terima maklumat ataupun butiran daripada pihak berkuasa dadah Laos.

“Daripada 13 individu yang ditahan itu, seorang membabitkan rakyat Malaysia dipercayai ditangkap di Laos,” katanya, di sini hari ini.