PHNOM PENH: Polis Laos merampas 521 kilogram (kg) dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.
Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper, hari ini melaporkan satu operasi keselamatan dijalankan pada 1 Oktober lalu susulan maklumat yang diterima polis wilayah pada 21 September mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang untuk menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.
Berdasarkan laporan itu, polis kemudian mendapat maklumat bahawa jadual penerbangan berkenaan diubah, dengan pesawat peribadi itu dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada jam 1.30 tengah hari pada 1 Oktober.






