KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjalankan siasatan dalaman berhubung kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis kristal methamphetamine dalam sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Laos.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu namun tidak memperincikan elemen siasatan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, siasatan itu hanya membabitkan AKPS memandangkan kes rampasan dadah adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
"Siasatan dalaman memang dibuat untuk pihak kami.
"Namun perkembangan lanjut berhubung kes ini perlu dirujuk kepada JSJN kerana ia berkaitan dadah," katanya.









