JOHOR BAHRU: Sekolah, tadika dan taska di seluruh Daerah Batu Pahat akan ditutup bermula esok susulan keadaan jerebu yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 203, iaitu pada tahap bacaan sangat tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, tindakan itu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) serta garis panduan dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah termasuk aktiviti sukan, kokurikulum, perhimpunan serta program atau keramaian di luar hendaklah ditangguhkan bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada udara tercemar.