BATU PAHAT – Semua sekolah, tadika dan taska di seluruh daerah ini diarahkan tutup bermula esok susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang mencecah 203, malam ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat memaklumkan bacaan IPU pada pukul 8 malam tadi berada pada tahap sangat tidak sihat, sekali gus mencetuskan tindakan pengurusan jerebu bagi melindungi keselamatan dan kesihatan penduduk.

Penutupan itu membabitkan seluruh daerah Batu Pahat dan berkuat kuasa pada 7 Oktober.

Menurut kenyataan media JPBD Batu Pahat, keputusan tersebut dibuat susulan pemantauan berterusan terhadap perkembangan kualiti udara serta bacaan IPU bersama agensi-agensi berkaitan.

Tindakan penutupan berkenaan adalah selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).