NYON: UEFA mengesahkan membuka siasatan terhadap insiden di terowong yang berlaku ketika perlawanan Liga Negara-Negara hujung minggu lalu antara Republik Ireland dan Israel di Serbia.

Pertengkaran itu berlaku pada separuh masa ketika kedua-dua pasukan seri 1-1 di Backa Topola, dengan laporan media menyebut seorang staf kejurulatihan Republik Ireland mendakwa dia diludah oleh pemain Israel.

Ketua jurulatih Republik Ireland, Heimir Hallgrimsson kemudian mengesahkan berlaku kekecohan.

"Ya, saya berada di situ," katanya kepada wartawan selepas perlawanan.

"Saya tidak akan mengulas mengenai perkara itu, ia sesuatu yang mungkin akan diteliti oleh jawatankuasa disiplin."