PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang dipercayai menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memanipulasi rakaman Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga tidak wajar dipandang ringan.

Menurutnya, perkara itu lebih membimbangkan apabila melibatkan detik kehilangan dan kedukaan seseorang.

“MCMC telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut. Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya hari ini.