MELAKA – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dijadual mengangkat sumpah jawatan esok, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Esok angkat sumpah (Exco),” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Difahamkan, pertemuan selama kira-kira sejam bermula 11 pagi itu antara lain membincangkan usaha meningkatkan keberkesanan pelaksanaan tugas wakil rakyat serta memantapkan penyelarasan menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).

Perbincangan turut menyentuh usaha meneruskan inisiatif Hari EXCO Bertemu Rakyat (HEBAT) serta memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian berkaitan.