BATU PAHAT – Siasatan polis mendapati kereta dinaiki dua lelaki yang rentung selepas terlibat nahas di Jalan Jaya Diri, Rengit di sini malam tadi bertembung dengan sebuah kenderaan lain sebelum merempuh tiang elektrik lalu terbakar.
Kejadian pukul 8 malam itu mengakibatkan Kamal Nur Hafizi Maskat,22, bersama seorang remaja yang memegang kad UNHCR Mohammed Erfan, 17, rentung apabila kereta Proton Saga yang mereka naiki hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushhadat Abdullah Sani berkata, pada masa sama kereta Proton Wira dinaiki lelaki berusia 37 tahun bersama ibunya berusia 61 tahun datang dari arah Kampung Sungai Dulang Darat ke arah Pekan Rengit.
Katanya, kereta dipandu Kamal Nur Hafiz dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Proton Wira dan merempuh tiang elektrik.








