KUALA LUMPUR: Langkah proaktif kerajaan dalam memelihara kestabilan ekonomi dan menjamin bekalan bahan api susulan krisis Asia Barat membantu Malaysia mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan itu, disokong pelaksanaan reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI, turut memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global.
"Tindakan berani kerajaan dalam menghadapi krisis Asia Barat, didukung oleh reformasi yang dilaksanakan di bawah Ekonomi MADANI, telah memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
"Walhasil, Malaysia berjaya mencatat antara prestasi ekonomi terbaik di rantau ini kendatipun dunia digasak pelbagai pancaroba," katanya dalam satu kenyataan.








