PETALING JAYA: Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, tanggungan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) itu merangkumi rawatan susulan dan penginapan di wad sehingga Hafizuddin dibenarkan keluar hospital.

Menurutnya, elaun latihan atlet berkenaan juga akan diteruskan seperti biasa mengikut kadar kelayakan semasa bagi membantu meringankan beban kewangan sepanjang tempoh pemulihan.

“Hafizuddin berada dalam keadaan baik dan kuat semangat. Saya turut bertemu ibu bapa dan ahli keluarga beliau serta menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.