PETALING JAYA: Meskipun sudah mempunyai lima cawangan perniagaan, bekas penyampai radio dan usahawan, Linda Onn mengakui tidak mampu menyertai acara jualan di luar seperti yang dilakukan segelintir selebriti kerana merasakan tanggungjawab menguruskan jualan di luar terlalu berat bagi dirinya.
Linda atau Rozlindah Onn,48, berkata, dia pernah menerima beberapa pelawaan untuk menyertai acara sedemikian, termasuk acara jualan berkonsepkan halal di Singapura, namun memilih untuk menolaknya kerana sedar akan kemampuan diri.
“Saya seronok melihat mereka berniaga, tetapi saya sendiri rasa penat. Saya tahu saya tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan sebegitu.
“Saya sangat hormat mereka yang mampu buat jualan sebegitu sebab mereka perlu berniaga dalam keadaan panas. Mereka juga perlu mengangkat banyak barangan untuk menjalankan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.









