Seoul: Seorang wanita di Korea Selatan menjadi tular selepas menganjurkan majlis meraikan perceraian rasminya yang dihadiri rakan rapat dan ahli keluarga, sekali gus menandakan permulaan lembaran baharu dalam kehidupannya, lapor NDTV.

Wanita itu, Cho Seung-yeon, 37, memilih untuk tidak menganggap perceraian sebagai satu kegagalan, sebaliknya meraikan peristiwa itu menerusi majlis yang hampir menyerupai resepsi perkahwinan.

Berpakaian serba putih, Cho meraikan detik berkenaan bersama insan tersayang di sebuah lokasi yang dihiasi meja dan kek khas, sebelum memotong kek ketika tetamu berkumpul.

Difahamkan, antara detik paling menyentuh perasaan adalah ketika Cho menyampaikan ucapan kepada tetamu sambil menahan air mata mengenai keputusannya untuk mengutamakan diri sendiri dan tidak kehilangan identiti demi mengejar cinta.