Tawau: Pemandu lori didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah membiarkan lori dipandunya yang rosak di jalan tanpa tanda amaran sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Khalik Bacho, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku jam 4.30 pagi pada 19 Disember 2025 di Jalan Sungai Burung, Jalan Apas-Balung, apabila motosikal ditunggang Hasan Ambo Latta, 32, melanggar bahagian belakang lori yang terhenti di lorong kiri jalan.