TAWAU: Seorang pemandu lori didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah membiarkan lori dipandunya yang rosak tanpa tanda amaran sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Khalik Bacho, 46, yang didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi pada 19 Disember 2025 di Jalan Sungai Burung, Jalan Apas-Balung, apabila motosikal ditunggang Hasan Ambo Latta, 32, melanggar belakang lori yang terhenti di lorong kiri jalan.