Melaka: Biarpun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, kerinduan mendalam terhadap rumah Allah mendorong seorang warga emas menggagahkan diri menunaikan solat Zuhur berjemaah sebelum menghembuskan nafas terakhir sejurus selesai memberi salam di Masjid Kampung Hulu, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.25 tengah hari itu, Ibrahim Abdul Karim, 69, dilaporkan rebah selepas memberi salam pada rakaat terakhir sebelum disedari jemaah lain.
Lebih menyentuh hati, anak dan menantunya yang turut berada di masjid berkenaan sempat membantu Allahyarham mengucap dua kalimah syahadah.
Imam Masjid Kampung Hulu, Mohamad Syafiq Ramli berkata, Allahyarham adalah jemaah yang sangat istiqamah dan hampir tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sepanjang 10 tahun beliau bertugas di masjid berkenaan.








