SEREMBAN: Kononnya minuman keras diimport dari negara Eropah, rupa-rupanya hanya arak berjenama tiruan yang dikilangkan secara haram di negara ini.

Taktik licik itu terbongkar susulan serbuan pihak berkuasa di sebuah kilang memproses minuman keras di Semenyih, Kajang, Selangor, pada 5 November lalu.

Pada serbuan itu, pelbagai jenis arak dirampas, yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta termasuk nilai duti.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan, Jamal Paiman, berkata serbuan itu hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Jabatan Imigresen dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA).