KUALA LUMPUR: Siapa sangka karya anak seni tempatan menjadi pilihan pemimpin dunia apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggunakan lagu nyanyian Mawi dan Mimifly sebagai muzik latar hantaran media sosial sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia.

Pemilihan dua lagu berkenaan, Pawana Pawaka nyanyian Mawi dan Perkasa dendangan Mimifly bersama penyanyi rap, Aman RA, nyata mengejutkan kedua-dua penyanyi itu yang tidak menyangka karya mereka mendapat perhatian pemimpin berkenaan.

Menerusi perkongsian di Instagram Story masing-masing, Mawi dan Mimifly meluahkan keterujaan apabila lagu mereka dipilih untuk mengiringi hantaran Macron.

Mimifly meluahkan rasa tidak percaya apabila lagu Perkasa menjadi pilihan Presiden Perancis itu.