NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) kehilangan status sebagai negara bebas campak selepas lebih 25 tahun susulan penilaian oleh sebuah suruhanjaya pakar, lapor agensi berita Jerman dpa.
Ketua Pejabat Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Benua Amerika, Jarbas Barbosa pada Selasa mengumumkan suruhanjaya itu mendapati AS tidak lagi memenuhi kriteria bagi pengiktirafan itu.
Menurut laporan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas varian virus campak yang sama didapati terus merebak dalam negara itu selama sekurang-kurangnya 12 bulan berturut-turut.
Bagaimanapun, status itu tidak bermakna negara berkenaan langsung tidak mencatatkan jangkitan, sebaliknya menunjukkan tiada rantaian penularan tempatan yang berterusan.









