KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membenarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencabar perintah mahkamah yang mengarahkannya mengeluarkan sijil kelahiran kepada seorang anak angkat warga China.
Pesuruhjaya Kehakiman Suraiya Mustafa Kamal membuat keputusan itu selepas membenarkan JPN menjadi pihak dalam rayuan pengangkatan yang difailkan oleh seorang lelaki warga Malaysia dan isteri warga China, yang memohon untuk mengambil anak saudara perempuan kepada pasangannya itu, sebagai anak angkat.
Beliau memutuskan perintah mahkamah terdahulu, bertarikh 17 Mac, adalah terbatal dan tidak sah atas alasan menyalahi undang-undang atau ketiadaan bidang kuasa kerana ia menghendaki JPN bertindak bertentangan dengan Akta Pengangkatan dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.









