KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengkaji kaedah terbaik bagi mengeluarkan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah Pantai Dasar, Sabak, demi membendung pencemaran berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata sisa di kawasan itu perlu dikeluarkan susulan hakisan pantai yang masih berlaku.

Katanya, kerajaan negeri sudah memanggil JAS, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melihat isu itu.

"Pada Julai lalu, saya bersama JAS dan MPKB-BRI sudah melawat tapak pelupusan sampah itu untuk melihat hakisan. Kami minta JAS buat kajian dan bincang dengan pemilik tanah berikutan lokasi itu mempunyai geran dan bukannya tanah rizab," katanya ketika dihubungi hari ini.