Ayer Keroh: Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka dijangka mengangkat sumpah jawatan esok, dengan barisan pentadbiran baharu itu bakal menyaksikan gabungan muka lama dan baharu bagi memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Istiadat angkat sumpah jawatan dijadual berlangsung di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Seri Negeri, di sini di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, sekali gus melengkapkan pembentukan pentadbiran baharu kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dijangka terus diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai EXCO Kanan dalam barisan pentadbiran baharu itu.