Kuala Lumpur : Kumpulan pop popular Indonesia, D'MASIV bakal menggegarkan pentas Mega Star Arena, di sini menerusi konsert jelajah D'MASIV Asia Home Run pada Jumaat ini bermula jam 8 malam.
Lebih mengujakan, konsert anjuran Neptunes Presents bersama Antara Suara itu turut menampilkan gandingan istimewa dua penyanyi berbakat besar dari Malaysia dan Brunei iaitu Noh Salleh dan Aziz Harun selaku artis undangan.
Kuala Lumpur menjadi destinasi keempat dalam siri jelajah Asia kumpulan berkenaan selepas berjaya menawan peminat di Taiwan, Hong Kong dan Singapura sebelum melabuhkan tirainya di Jakarta, Indonesia.
Menurut Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman, pemilihan Noh dan Aziz dibuat sendiri oleh pihak pengurusan D'MASIV bagi menyuntik kelainan serta memberikan pengalaman muzik lebih bermakna buat peminat tempatan.






