Los Angeles: Bintang golf Amerika Syarikat, Bryson DeChambeau menegaskan tidak pernah menyesal menyertai LIV Golf, walaupun kejohanan yang mencetuskan perpecahan dalam sukan itu mengumumkan penutupan operasi, Khamis lalu.

Pemenang dua gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu turut mengakui masih percaya kepada format pertandingan berpasukan yang diperkenalkan LIV, namun tidak memberikan gambaran jelas mengenai perancangan kariernya selepas ini.

DeChambeau antara nama besar yang meninggalkan Jelajah PGA untuk menyertai LIV Golf yang disokong dana Arab Saudi pada 2022, sekali gus mencetuskan perubahan besar dalam landskap golf profesional dunia.

Pelumba golf berusia 32 tahun itu sebelum ini lantang mempertahankan kejohanan berkenaan, malah terus optimis terhadap rancangan penjenamaan semula LIV 2.0 walaupun beberapa pemain lain, termasuk Jon Rahm, mengambil keputusan meninggalkan kejohanan itu.