Manchester: Pengendali Manchester United, Michael Carrick menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan meskipun masa depannya di Old Trafford terus menjadi tanda tanya susulan prestasi hambar pasukan itu dalam Liga Perdana Inggeris.

Carrick berdepan tekanan hebat selepas United sekadar mengikat Aston Villa 4-4 dalam aksi di Old Trafford, awal pagi semalam, sekali gus melanjutkan rekod tanpa kemenangan liga kepada lapan perlawanan.

Lebih membimbangkan, keputusan itu menyaksikan The Red Devils terus terperosok dalam kelompok tiga pasukan terbawah dengan hanya mengumpul lapan mata daripada 10 perlawanan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan perbincangan mengenai kedudukannya berlangsung sepanjang rehat antarabangsa, Carrick memberikan jawapan sinis sehingga mencetuskan suasana tegang dalam temu bual bersama Sky Sports.