Oldham: Pengurus Oldham Athletic, Micky Mellon, dilayangkan kad merah selepas bertindak menanduk pemain tengah Sheffield Wednesday, Callum Slattery, dalam aksi pusingan pertama Piala FA yang bertukar kecoh di Boundary Park, awal pagi semalam.

Insiden mengejutkan itu berlaku enam minit sebelum tamat waktu permainan sebenar apabila Mellon dilihat memegang belakang leher Slattery sebelum menarik pemain lawan itu ke arahnya dan 'menyondol' kepalanya ke muka pemain berkenaan sehingga terjatuh.

Tindakan itu mencetuskan kekecohan apabila pemain serta pegawai kedua-dua pasukan bergegas ke kawasan berkenaan sebelum tercetus pergaduhan besar di tepi padang.

Selepas keadaan berjaya dikawal, pengadil Martin Woods menghampiri Mellon dan melayangkan kad merah kepada pengendali Oldham itu.