KUALA LUMPUR: Harimau Malaya berisiko pupus di habitat tertentu akibat populasi kecil yang terpisah, menyukarkan pembiakan dan menjejaskan kepelbagaian genetik.
Populasi spesies ikonik negara di habitat liar dianggarkan kurang daripada 150 ekor berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan antara 2016 hingga 2020.
Ketika timbul isu kepupusan haiwan itu, keadaan bertambah parah kerana ia juga menghadapi ancaman perbuatan manusia iaitu jerat dan pemburuan haram yang kekal antara ancaman utama.
Kajian mendapati 'kehilangan' seekor harimau sahaja boleh memberi kesan besar kepada kelangsungan populasi yang sedia kecil terutama jika membabitkan harimau yang berpotensi membiak.









