KUALA LUMPUR: Dokumen Perintah Pelepasan atau Order of Discharge berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didakwa mengandungi beberapa kesilapan rujukan peruntukan undang-undang sehingga menimbulkan persoalan mengenai ketepatan skop perintah berkenaan.
Analisis terhadap dokumen itu mendakwa terdapat kecuaian apabila hanya Seksyen 409 Kanun Keseksaan disenaraikan sebanyak tiga kali, sedangkan sabitan dan hukuman dalam kes berkenaan turut melibatkan dua peruntukan undang-undang lain.
Pengguna platform X, Nazril Iznil mendedahkan analisis tersebut, sabitan Najib merangkumi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.










