Bandar Permaisuri: Seorang remaja maut selepas motosikalnya bertembung dengan kereta rasmi polis di Kilometer 63, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, kejadian pada jam 2.35 pagi dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang Muhammad Hazim Daniel Mohamad Radzi, 15, dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Motosikal itu bertembung dengan kereta rasmi polis jenis Honda City yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahril Asri berkata, kereta pasukan itu dinaiki pemandu lelaki berusia 35 tahun dan penumpang lelaki 32 tahun.









