SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lagi motosikal dan kereta di Kilometer 114.4 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Suhaimi Saidin, 64, seorang pesara polis dan isterinya, Normah Hashim, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dua lagi mangsa berusia 18 dan 15 tahun yang menaiki sebuah motosikal masing-masing mengalami kecederaan parah dan ringan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Bezza berusia 36 dan 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.