KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus mencerminkan penilaiannya bahawa kadar tersebut sejajar dengan prospek kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, kata Gabenor, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

"Apabila kami menilai prospek pertumbuhan dan inflasi, kami mendapati paras semasa OPR pada 2.75 peratus sejajar dengan penilaian kami terhadap prospek ekonomi," katanya kepada Bernama selepas pengumuman OPR pada Khamis.

Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan global mempamerkan daya tahan, disokong oleh faktor-faktor seperti pengembangan berterusan pelaburan dalam teknologi serta permintaan kukuh yang berkait dengan penerimagunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).