ISTANBUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Pengajian Tinggi Turkiye (YOK), Prof Dr Erol Ozvar.

Pertemuan selama 40 minit yang bermula jam 11.30 pagi itu berlangsung di hotel penginapan Ahmad Zahid, di sini dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), termasuk menerusi pelaksanaan sistem kredit modular serta memperluas pertukaran tenaga akademik dan pelajar.

Ahmad Zahid berkata, antara tujuan pertemuan itu adalah untuk meneliti semula pelbagai memorandum persefahaman (MoU), perjanjian kerjasama dan perjanjian teknikal yang dimeterai antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.