MELAKA: Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sepanjang minggu pertama disifatkan lebih tenang dan terkawal, berbanding dua pilihan raya negeri terdahulu di Johor dan Negeri Sembilan.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, berkata meskipun wujud persaingan politik, sikap matang dan saling menghormati antara parti serta calon bertanding berjaya memastikan suasana kempen kekal harmoni.
"Suasana kempen kita di sini biasalah, ada usikan-usikan, provokasi sedikit sebanyak di media sosial dan sebagainya. Tetapi pada akhirnya kita boleh lihat suasana agak harmoni.
"… Sebab kita ada pengalaman di Johor, di Negeri Sembilan, suasana politiknya sangat panas, boleh tahan mendidih juga. Namun di sini tidak, sebab it takes two to tango (kedua-dua pihak memainkan peranan)," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.









