KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini terjejas oleh sentimen berhati-hati mengelak risiko merentas pasaran global di tengah-tengah tekanan jualan dalam sektor semikonduktor.
Pada 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.0565/0610 berbanding dolar AS daripada paras 4.0445/0490 pada Khamis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit berdepan tekanan apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati susulan keadaan tidak menentu dalam pasaran global.
"Kami juga melihat permintaan terhadap dolar AS sebagai aset selamat berbanding mata wang utama lain seperti euro dan dolar Australia, yang turut memberi kesan kepada mata wang rantau Asia," katanya kepada Bernama.






