PETALING JAYA: Keupayaan kerajaan mengekalkan disiplin fiskal ketika berdepan peningkatan kos subsidi menjadi antara faktor penentu kepada prospek ringgit menembusi paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ketahanan ekonomi domestik, sokongan belian terhadap mata wang tempatan serta jangkaan penurunan kadar faedah AS turut menyediakan ruang untuk ringgit mengukuh dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, momentum itu berisiko terjejas sekiranya konflik geopolitik di Asia Barat berlarutan sehingga mendorong kenaikan harga minyak mentah dunia, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.