PETALING JAYA: SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) dijangka memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM586.3 juta menerusi cadangan pelupusan tanah ladang seluas 657.09 hektar di Bukit Kerayong, Klang, Selangor, pada nilai RM933.57 juta.
Menurut nota penyelidikan CIMB Securities, transaksi itu dijangka selesai pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan Lembaga Tanah Ladang dan Kementerian Ekonomi.
“Pelupusan berkenaan melibatkan tanah pegangan bebas di Ladang Bukit Kerayong seluas 657.09 hektar kepada Bukit Kerayong Industrial Developments Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama pembangunan perindustrian yang turut disertai YTL Power dan Bumi Assets.
“Di bawah struktur usaha sama itu, SD Guthrie akan memegang 30 peratus kepentingan, manakala YTL Power dan Bumi Assets masing-masing memiliki 35 peratus,” katanya.








