MELAKA: Kesemua 28 pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dibuka serentak pada jam 9 pagi ini.

Bakal calon diberi tempoh sejam hingga jam 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di pusat penamaan calon, sebelum senarai yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam sebelum hari pengundian pada 14 November.

Tinjauan di beberapa pusat penamaan calon hari ini mendapati penyokong parti politik mula berkumpul seawal jam 7 pagi bagi memberi sokongan kepada calon pilihan masing-masing, dengan cuaca kelihatan baik di semua kawasan.