MELAKA: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selesai selepas kesemua 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri ditutup pada jam 10 pagi ini.
Tempoh sejam bermula jam 9 pagi diperuntukkan bagi urusan penyerahan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan penutupan proses penamaan calon di pusat masing-masing.
Tumpuan kini terarah kepada pengisytiharan rasmi senarai calon yang layak bertanding serta jumlah persaingan di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selepas berakhir proses penamaan calon itu, menandakan bermulanya kempen PRN Melaka selama 14 hari seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu hingga jam 11.59 malam pada 13 November depan.






