PETALING JAYA – Ribuan pembeli dalam talian terjerat dengan taktik licik peniaga ‘hantu’ yang memperdaya mangsa dengan pelbagai tawaran menarik terutama harga murah sebelum lesap sebaik sahaja wang diterima.

Sekurang-kurangnya 30 pembeli di seluruh negara menjadi mangsa penipuan dalam talian setiap hari sejak awal tahun lalu hingga September lalu. Angka itu berdasarkan keseluruhan 9,533 aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam (gambar) berkata, kebanyakan kes penipuan melibatkan platform e-dagang yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa serta dikendalikan oleh individu menerusi akaun media sosial ma­sing-masing.