LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) berharap Petronas kekal sebagai penaja utama Grand Prix (GP) Malaysia dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2031 seiring dengan lanjutan kontrak penganjuran bersama pemegang hak, Dorna Sports.
Kontrak penajaan Petronas bagi GP Malaysia difahamkan bakal berakhir pada penghujung musim ini, namun usaha untuk meneruskan kerjasama itu dalam perbincangan bagi memastikan kesinambungan sokongan syarikat minyak dan gas gergasi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya berharap perjanjian penajaan baharu dapat diselaraskan dengan tempoh kontrak penganjuran GP Malaysia bersama Dorna iaitu bagi tempoh lima tahun bermula 2027 hingga 2031.






