SELEPAS mencetuskan fenomena luar biasa menerusi empat siri sebelum ini, francais Kudrat 1968: High Council akhirnya melabuhkan tirai legasi menerusi tayangan di layar perak.

Sejak mula ditayangkan pada 11 September lalu, pelbagai teori liar mula bertebaran dalam kalangan peminat tegar naskhah berkenaan.

Ada andaian yang masih masuk akal, namun wujud juga spekulasi mengarut sehingga cuba mengaitkan elemen mistik yang langsung tidak berasas.

Bagaimanapun, segala tanda tanya terjawab apabila pengarah, Zulaikha Zakaria membentangkan naratif realistik dalam karya berdurasi satu jam 58 minit ini.