PETALING JAYA – Amalan murid mengelap meja selepas makan di sebuah kantin sekolah meraih pujian orang ramai yang menyifatkan usaha itu mampu mendidik anak-anak menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, @syamillhalek, pihak sekolah menyediakan kain pengelap dan semburan pembersih untuk digunakan oleh murid bagi membersihkan meja selepas mereka selesai makan.

Menurutnya, amalan dikenali sebagai ‘clean as you go’ itu diharapkan dapat memberi kesan positif kepada murid-murid supaya membesar dengan nilai murni yang baik.

Perkongsian itu turut mendapat respons daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memuji usaha mendidik murid dengan menerapkan nilai murni sejak kecil.